Ambil pen dan kertas nan sehelai, kutulis beberapa hal yang kutemui tentang diriku - proses mengenal diri ni memang takkan berhenti. Baguslah.
AKU:
- suka ada sistem. Baru habis dua minggu ini, siap dengan pelan bilik, rancangan kasar rekaan dan tema warna serta tenaga (ya, aku buat seorang diri) untuk kerja ubah aturan bilik. Aku stres masa masuk minggu kedua Ramadhan 'bila pandang ampaian telekung tu - kenapa kecenderungan ampaian 'tu untuk bersepah masih kekal sama setelah bertahun ia wujud dalam bilik (daripada zaman aku belum graduasi sampai dah setahun bekerja)
Kekalnya keadaan tu, pada aku yang tengah stres tu, memaksudkan kegagalan sistem sedia ada untuk 'adapt' keperluan semasa aku (dan adik-beradik aku yang masuk keluar bilik 'tu juga).
- pernah begitu berfokus dan bertenaga dengan satu single benda ja dalam kepala melekat. Benda ni macam dah lama tak bermaya dalam kepala. Aku dok longgokkan 'sampah' dalam kepala, yang mana aku macam tak dapat elak - klien tukar jadual kelas, aku stres fikir sukatan pelajaran pelajar nan berbagai-bagai, kelam-kelibut timbangkan idea nak buka kedai dan sebagainya.
Kerja mengemas bilik tu, menyedarkan aku tenaga dan upaya fokus aku. Dalam masa dua minggu ni, projek bilik aku nan sederhana 'ni membantu aku agak lega (dan ya, memanglah, Ramadhan pun tak ada banyak kelas, jadi, ada sedikit masa).
- patut bermula dengan yang ringkas. Ini tujuan aku mahu menulis di sini. Aku dulu fikir hendak mulakan perubahan masyarakatlah, hendak cuba bawa idea inovatif lah - aku tak berputus asa - tetapi aku fikir, tanpa keseronokan sejati daripada dalam diri tentang apa aku hendak buat, aku sendiri tak larat nak komited dalam masa panjang.
Aku cuma fikir sekarang, aku hendak menulis untuk berhubung (dalam skala kecil, bukan untuk dapatkan tarikan media sosial) dengan orang yang mungkin berusaha dalam hal yang seperti aku.
Usaha untuk teruskan belajar dengan mendalam walaupun bukan ambil Master lagi.
Usaha untuk memperlahankan daya konsumerisme (katanya, less is more) dan melestari alam.
Usaha untuk cuba sentiasa conscious, bukan sekadar hidup badani.
Ringkas. Tiga ini pun dah okay (dan susah) (dan ya, entah kenapa aku suka buat senarai bertiga-tiga).
“Meanwhile, the question is not whether we should 'lose ourselves' -
since all do so in one way or another - but where we lose ourselves:
in light or in darkness, in good dreams or in nightmares,
in truth or in falsehood.” (Gai Eaton)